Saturday, September 8, 2007

Ayam Kampung dan Selesema Burung

Ayam Kampung dan Selesema Burung
Oleh: Prof Madya Dr Azhar Kasim
Ketua Jabatan Sains Haiwan
Fakulti Pertanian, UPM

Ayam kampung merupakan panggilan bagi ayam yang dipelihara secara bebas lepas. Di beberapa buah negara barat peribahasa ini dikenali sebagai 'free ranging chicken' atau 'organic chicken. Nama-nama ini sudah jadi sebutan biasa kerana ayam jenis ini bergerak bebas di lapangan sama ada dipelihara di kawasan bandar, pinggiran bandar dan luar bandar.

Di lapangan, ayam ini berpeluang untuk bergerak aktif mencari makanan tambahan dalam bentuk semula jadi terdiri daripada haiwan kecil, seperti belalang, ulat dan cacing serta bahan daripada tumbuhan, seperti bijirin, buah dan dedaun, termasuk daripada spesis tumbuhan herba. Secara tidak langsung kawasan yang lapang dimanfaatkan dengan pemeliharaan ayam kampung.

Pergerakan otot yang aktif serta pengambilan makanan berunsur organik menghasilkan daging yang lazat dan berkhasiat tinggi. Ciri daging yang enak melonjakkan harga ayam kampung ke tahap lebih tinggi daripada ayam daging komersil. Ayam kampung menjadi sumber penting bagi memperoleh pendapatan tambahan tanpa pelaburan modal yang tinggi. Modal permulaan hanya diperlukan untuk menyediakan reban yang sesuai. Makanan asas lazimnya ialah sisa daripada dapur dan bahan lebihan daripada santapan keluarga.

Asal-usul ayam kampung memang menarik. Faktor geografi dan sejarah menyatakan tidak wujud ayam secara semula jadi di Benua Eropah dan Amerika Utara atas faktor cuaca bermusim yang terlampau sejuk. Walau bagaimanapun ayam belanda (tidak serupa dengan ayam), saudara terdekat kepada ayam kampung, wujud di Amerika Tengah.

Kini ayam kampung boleh hidup di serata dunia kerana manusia memahami keperluan untuk menyediakan tempat perlindungannya pada musim sejuk. Ayam kampung ialah warisan daripada campuran beberapa jenis ayam baka moden. Ayam baka moden terhasil dari kacukan terancang yang ada pada peringkat awal melibatkan empat spesis ayam hutan. Ayam hutam masih wujud dalam keadaan liar dan hanya terdapat di sekitar Asia Tenggara, Indo China, India dan Sri Langka sahaja.

Spesis ayam hutan tempatan kita (Red Jungle Fowl) iaitu gallus gallus merupakan spesis yang paling berjaya dikacukkan dengan tiga spesis ayam hutan yang lain.

penjajah membawa pulang ayam hutan dari Asia ke negara mereka dan usaha kacukan dan pembiakkan melebihi dua kurun, yang turut dilakukan di Amerika, akhirnya berjaya menghasilkan ayam yang sesuai diternak untuk daging dan telur. Baka moden berasal dari luar negara berbadan jauh lebih besar daripada ayam hutan, seperti New Hampshire, Plymouth Rock, Rhode Island Red, Cornish, Canton, Brown Leghorn dan Australorp dibawa masuk melalui program kerajaan.

Jabatan Perkhidmatan Haiwan sendiri pada awal tahun 70-an pernah menghasilkan baka kacukan tempatan yang dinamakan Ayam Baka Johor (singkatannya ABJ). Semua baka ini mempunyai bulu warna bukan putih dan kecantikan ayam ini memdorong orang ramai memeliharanya di kampung. Perkahwinan bebas antara pelbagai baka dan keturunan mereka dalam pemeliharaan secara lepas bebas selama beberapa dekad dan makanan yang terhad telah secara semula jadi mempengaruhi perubahan saiz asal yang besar kepada warisan ayam yang kecil sedikit, ramping dan sangat lasak yang dipanggil dengan nama ayam kampung.

Saiz ayam kampung menjadi bertambah kecil dengan kemasukan gen asli berpunca daripada kacukan dengan ayam hutam tempatan. Sekecil-kecilnya ayam kampung, dagingnya tetap menjadi kesukaan ramai.

Selesema burung yang melanda Asia Tenggara turut mengancam ayam kampung. Kes kematian ayam kampung di Gombak beberapa bulan yang lepas dan Kampung Paya Jaras dalam tempoh sebulan yang lepas sebagai akibat jangkitan selsema burung telah menimbulkan tanda tanya tentang peraturan yang bakal dikenakan oleh pihak berkuasa terhadap pemeliharaan ayam kampung. Jabatan Perkhidmatan Haiwan melalui laporan akhbar menyatakan bahawa terdapat bukti yang konsisten bahawa selsema burung mempunyai kaitan rapat dengan ayam jenis laga yang mungkin diseludup masuk dari negara jiran yang masih dilanda selsema burung. Rupa dan saiz ayam jenis laga jauh berbeza daripada ayam kampung sebenar, iaitu warisan dari zaman sejak merdeka dahulu. Bersesuaianlah ayam kampung ini dengan panggilan ayam kampung tradisional. Ayam kampung tradisional ini mudah dipasarkan untuk tujuan daging berbanding dengan ayam jenis laga.

Kawasan berisiko tinggi bagi jangkitan selsema burung kepada ayam kampung tradisional telah dikaitkan dengan kawasan yang berhampiran dengan kediaman pekerja asing ataupun rakyat tempatan yang mungkin terlibat dengan aktiviti melaga ayam dan penyeludupan ayam hidup, iaitu aktiviti yang telah diharamkan. Ayam laga mudah dicam kerana susuknya lebih tinggi dan berdiri tegap. Ayam kampung tradisional pula lebih mirip kepada bentuk badan ayam hutan.

Tindakan yang paling wajar bagi pihak berkuasa adalah dengan mengharamkan pemeliharaan ayam laga. Ayam jenis laga pula bukan pilihan bagi mereka yang biasa dengan keenakan makan daging ayam kampung tradisional. Pemeliharaan ayam kampung tradisionaal di kawasan bandar dan pinggiran bandar yang mempunyai kawasan lapang wajar diteruskan. Larangan pemeliharaan ayam kampung tradisional adalah sesuai bagi kawasan perumahan bercirikan teres dan pangsa kerana ini dikaitkan dengan ketidakselesaan penduduk berpunca daripada tinja ayam. Kokokan sayu ayam kampung tradisional yang memecah sepi pagi adalah keindahan yang perlu dikekalkan baik di kaeasan bandar ataupun pinggiran bandar.

Sumber: Tribunputra, Julai 2007, Bilangan 55
www.tribunputra.upm.edu.my

Sponsor Link
Why Blog? The Purpose of Blogging